Selangor Journal

Raja Muda Selangor welcomes Sultan Kelantan at KLIA

SEPANG 13 DIS: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pagi ini, bagi Istiadat Melafaz Sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Ketibaan baginda pada jam 10.16 pagi disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas.
Baginda diiringi melalui pasukan Kawalan Kehormat Setempat oleh Angkatan Tentera Malaysia Unit I Rejimen Renjer Diraja, terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat, yang diketuai Kapten Mohd Hafiz Mohamad Noor.
Baginda kemudian berangkat ke Dataran Parlimen untuk sambutan rasmi penuh istiadat.
Sultan Muhammad V, 47, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) pada Oktober lepas yang turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Di Kuala Lumpur, ketibaan Sultan Muhammad V di Dataran Parlimen pada pukul 11 pagi disambut dengan tiupan nafiri oleh 14 anggota dari Pasukan Istiadat Diraja Tentera Darat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut keberangkatan tiba baginda.
Baginda kemudian diiringi ke Pentas Diraja, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan tabik ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama, yang disusuli lagu Negaraku oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Kapten Muhammad Nor Azizan Yahya.
Serentak dengan itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.
Sultan Muhammad V kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Ridhwan Basheer.
Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disusuli persembahan tabik ‘Hormat Diraja’ serta lagu Negaraku untuk kali kedua.
Baginda kemudian berangkat ke Istana Negara di Jalan Duta untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-244 (Khas) sempena istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
BERNAMA

Top Picks

Student dies after collapsing during cross-country run

Govt mulls investor-friendly policies that support AI development 

MCE’s new auto hub in Serendah to propel growth of automotive industry

Editor Selangor Journal