KUALA LUMPUR 11 JAN: Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 4.3 peratus pada 2017 dan 4.5 peratus tahun depan selepas pasaran dapat menyesuaikan kesan harga bahan api rendah serta harga komoditi menjadi lebih stabil.
Bank Dunia dalam satu kenyataan berkata angka itu menandakan aliran pengembangan sederhana daripada pertumbuhan rendah 4.2 peratus yang dijangkakan pada 2016.
Katanya pertumbuhan dalam kalangan negara pengeksport komoditi di rantau ini diunjur meningkat dengan pesat.
“Indonesia dijangka meningkat kepada 5.3 peratus pada 2017 daripada 5.1 peratus dalam tahun yang baru berakhir ini hasil daripada peningkatan pelaburan swasta.
“Malaysia dijangka meningkat kepada 4.3 peratus pada 2017 apabila penyesuaian kepada harga tenaga rendah berjalan lancar dan harga komoditi stabil,” kata bank itu.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasara (KDNK) negara berkurangan kepada lima peratus pada 2015 daripada enam peratus pada 2014.
Bagaimanapun, prospek pertumbuhan merosot di beberapa negara pengeksport komoditi yang lebih kecil seperti Mongolia dan Papua New Guinea apabila kejutan terma perdagangan diburukkan lagi dengan kelemahan domestik.
Mengenai prospek pertumbuhan di Asia Timur dan rantau Pasifik, Bank Dunia mengunjurkan ia susut kepada 6.2 peratus tahun ini susulan pertumbuhan perlahan di China yang menyederhana susulan peningkatan negara lain di rantau itu.
“Pengeluaran di China dijangka perlahan kepada 6.5 peratus tahun ini.
“Dasar makroekonomi dijangka menyokong pemacu pertumbuhan domestik utama meskipun kelemahan permintaan luaran dan lebihan kapasiti dalam beberapa sektor. Kecuali China, pertumbuhan di rantau itu dilihat berkembang lebih pesat pada kadar lima peratus pada 2017,” katanya.
=EZY=
